Saturday, August 30, 2008

ADAB BERPUASA DAN SOLAT TERAWIH

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain.

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak.

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat.

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia.

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga.

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat.

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin.

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air.

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.


"SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK"
"SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 51"

Thursday, August 21, 2008

10 Petua Menghadapi Peperiksaan

Khas buat anak muridku..

· Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat

Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.

· Semak soalan tahun lalu (setiap subjek)

Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.

· Banyakkan pembelajaran secara output learning

Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.

· Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasi
Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.

· Nota ringkas

Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.

· Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya

Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.

· Pemakanan berkhasiat dan seimbang

Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein (seperti kopi) kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.

· Kawal emosi

Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.

· Banyakkan berdoa dan bersolat

Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.

· Jangan panik

Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50% apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri, anda boleh menjawabnya.


****************************************

SELAMAT MENGHADAPI UPSR

PADA 9 – 11 SEPT 2008

KAMI DOAKAN ANDA SEMUA BEROLEH KEJAYAAN CEMERLANG.

MOHON LAH PERTOLONGAN ALLAH SWT DALAM APA JUA SITUASI YANG DIHADAPI

5A DI TANGAN ANDA!!

Doa dari semua ibu bapa dan guru anda..

Terima kasih cikgu

Hari ini berakhirnya Kelas Intensif 4 hari untuk murid-murid tahun 6. Kehadiran memuaskan, cuma Tahun 6G ramai juga yang tidak hadir. Tahniah kepada murid-murid yang hadir. Cikgu doakan kamu semua lulus cemerlang nanti. Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua guru yang telah sudi mengorbankan masa cuti demi anak-anak SKDP. Hanya Allah jua yang dapat membalasnya. Semoga semuanya lulus PTK 44 (bukan selisih malaikat 44). Lepas ni harap semua dapat anjakan gaji dan time base atau kalau ada rezeki dapat Guru Cemerlang atau naik gred hakiki sebagai pentadbir.

Tuesday, August 19, 2008

Panduan ulangkaji
menjelang peperiksaan UPSR 2008


Sedutan dan ubahsuai dari artikel Dr. Sulaiman Masri (konsultan kemahiran media komunikasi dan cemerlang peperiksaan) dalam Utusan Malaysia 30/7/98


Rencana hari ini khusus buat tatapan adik-adik yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Diperlihatkan satu jadual yang memuatkan aktiviti pembelajaran siang dan malam sebagai panduan adik-adik mengulangkaji lima mata pelajaran selama 30 hari sebelum peperiksaan bermula pada awal September.

Jadual ulang kaji ini hanya suatu contoh atau cadangan. Dengan yang demikian, anda boleh gunakan sepenuhnya atau gunakan sebahagian, atau membuat penyesuaiann yang seperlunya.

Apa yang saya harapkan, anda mesti memperuntukkan masa sehingga tujuh jam siang dan malam untuk membaca, mengingat dan menguasai di samping membuat latihan pengiraan dan penulisan.

Kepada ibu bapa dan sanak saudara, saya percaya sentiasa bersedia untuk memastikan anak-anak belajar menurut jadual ulang kaji cadangan ini atau jadual lain yang disenangi demi kecemerlangan dalam UPSR akan datang.

Baiklah, jadual ulang kaji UPSR ini menggunakan masa dari pukul 8 hingga pukul 5 petang dan dari pukul 8.30 malam hingga pukul 11.15 malam. Jangka masa ulang kaji, 30 hari.

SECEBIS NASIHAT

Adik-adik tentu mahu mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR? Syabas.

Nah, kalau anda ingin berjaya dengan cemerlang dalam UPSR, anda mesti belajar dengan penuh minat, tekun, sabar dan takwa. Minat, tekun dan sabar termasuk dalam pengertian motivasi diri. Takwa pula bermaksud bahawa anda (ibu bapa dan saudara mara anda) mesti mengerjakan solat dan sentiasa berdoa demi kesejahteraan dan kecemerlangan.

Badan anda perlu sihat supaya otak anda cerdas dan perasaan anda ceria. Makanan dan minuman perlu segar, bersih, halal, berzat dan dimasak supaya badan dan otak sihat sentiasa.

Kalau anda lulus dengan baik (sekurang-kurangnya 3A 2B), ibu bapa anda, guru-guru anda, kawan-kawan dan sanak saudara semuanya turut bergembira. Malah anda akan belajar di sekolah menengah dalam tingaktan satu yang baik. Apatah lagi kalau anda lulus dengan cemerlang (kelima-lima subjek dapat A).

Untuk cemerlang dalam peperiksaan anda mesti memaham, mengingat dan menguasai beratus-ratus topik, isi, rajah, jadual, rumus, angka dan sebagainya.

Oleh sebab itu, anda mesti menggunakan jadual belajar yang khusus sebagai panduan untuk membahagi masa yang seimbang.

Kalau anda belajar di dalam bilik darjah bersama kawan pada sebelah siang, anda hendaklah mengulang kaji pada waktu yang tidak belajar di sekolah sama ada waktu pagi atau waktu petang. Atau, anda menumpukan masa untuk ulang kaji pada sebelah malam.

Apa yang penting anda mesti mengutamakan masa untuk mengulang kaji lima subjek selama 30 hari ini.

Mudah-mudahan anda semakin menguasai setiap topik, fakta, bahasa, rajah, angka dan sebagainya.

Seperkara lagi yang mesti sentiasa diingat, bahawa setiap kejayaan perlukan pengorbanan. Semasa mengulangkaji ini, ada kalanya anda terpaksa kurangkan makan, kurangkan bermain, kurangkan menonton televisyen atau kurangkan tidur.

Hanya dengan pengorbanan, iaitu kesanggupan anda untuk belajar dengan tekun, sabar dan takwa, akhirnya nanti akan mendatangkan kejayaan yang diimpikan, iaitu mendapat 5A.

AKTIVITI ULANG KAJI 30 HARI

Jadual ulang kaji cadangan ini meliputi aktiviti 30 hari, dari 1 Ogos.

Masa satu subjek satu jam.

Jangka masa: Sebelah siang dari 8 pagi hingga 12.30 tengahari.

Petang: Dari 3 petang hingga 5.15 petang.

Malam: Dari 8 hingga 11.15 malam.

Untuk mengelakkan daripada letih dan tenaga mengantuk, setiap 20 minit ulang kaji anda hendaklah minum air masak sehingga empat teguk, kemudian berjalan ke tingkat dan bernafas panjang-panjang serta menghembuskannya secara perlahan-lahan sebanyak lima kali.

Anda hendaklah membaca lima buku teks yang diperaku oleh Kementerian Pendidikan bagi semua subjek.

Untuk latihan menjawab soalan aneka pilihan (objektif), anda bolehlah menggunakan buku-buku panduan yang ditulis atau disusun oleh penulis yang berwibawa dan diterbitkan oleh penerbit yang terkenal.

Perlu diingat, untuk memaham atau mengingat topik dan maklumat tertentu, anda mungkin perlu mengulang kaji topik yang sama sehingga sepuluh kali.

Ini perkara biasa adik-adik.

Kalau adik belajar menunggang basikal pun, anda perlu beberapa kali belajar sebelum pandai berkayuh.

Setiap kali hendak ulang kaji dan menjawab soalan peperiksaan, bagi murid beragama Islam, baca dahulu

Bissmillahhirrahmanirrahim

dan doa belajar, misalnya:

Rabbisyrah li syadri wa yassir li amri wahlul uqdatan millisani yafqahu qauli

atau doa ini:

Allahumma akhirijna minzulumatilwahmi wa akrimna binurilfahmi waftah alaina bimakrifatika wa sahhillana abwaba fadlika ya arhamarrahimin, dan sebagainya.

Ingat, semasa membaca untuk ulang kaji anda mesti berusaha memaham, mengingat, menghafal dan menguasai isi, perhendaharaan kata (bahasa Melayu/bahasa Inggeris), rajah, jalan pengiraan, ejaan tempat/orang/benda, tarikh, gambar, tanda baca, simbol, rumus dan tatabahasa.


Jadual Belajar Bestari
1 Ogos - 7 September

8 - 9 pagi

Bahasa Melayu Kefahaman

9 - 10 pagi

Bahasa Melayu Penulisan dan tulis sebuah karangan

10.30 - 11.30 pagi

Matematik, misalnya nombor bulat dan operasi

11.30 pagi - 12.30 tengahari

Sains misalnya plant's protection

12.30 - 3 petang

makan/solat Zohor/rehat/tidur siang

3 - 4 petang

latihan mengeja nama tempat/nama orang/nama benda, dan latihan melukis gambar rajah sains

4 - 5 petang

latihan menjawab contoh kertas soalan, misalnya Matematik daripada buku latihan oleh penyusun/penerbit ternama. Kemudian semak jawapan daripada contoh jawapan. Sebaik-baik latihan ini diperiksa oleh ibu bapa atau sanak saudara yang prihatin

6.30 - 6.45 petang

mandi

7 - 7.25 petang

makan malam. Makan pada waktu begini baik diamalkan sebab anda boleh khusuk melakukan solat Maghrib dan semasa belajar sejam kemudian anda tidak mudah mengantuk disebabkan makanan sudah hadam

7.25 - 7.45 malam

solat Maghrib

8 - 8.30 malam

mengikuti siaran berita daripada televisyen atau radio dan cuba contohi cara betul menyebut perkataan, nama orang, nama tempat, dan pembinaan ayat

8.30 - 9 malam

rehat/solat Isya

9 - 10 malam

bahasa Inggeris. Bagi perkataan, pastikan anda menghafal ejaan, ejaan, makna, selok-belok bahasa serta tatabahasa

10 - 11 malam

latihan menjawab contoh kertas soalan, misalnya Sains

11.30 malam - 6 pagi

tidur

Demikianlah contoh aktiviti ulang kaji bagi lima subjek pada sebelah siang dan malam.

Anda lakukan ulang kaji setiap hari dan malam dari 1 hingga 30 Ogos menurut mata pelajaran yang dicadangkan.

Perubahan pada topik-topik setiap mata pelajaran sehingga faham dan ingat.

Jika anda mengulang kaji setiap topik dan kandungannya dengan bergilir dan seimbang, Insya-Allah anda semakin menguasai setiap isi, rajah dan maklumat yang penting untuk peperiksaan.

Bagi latihan menjawab contoh kertas soalan lima mata pelajaran yang disediakan oleh penulis/penerbit ternama, bolehlah anda lakukan secara bergilir pada sebelah petang (4 - 5 petang) dan pada sebelam malam (10 - 11 malam).

Ini bermakna latihan menjawab daripada contoh-contoh kertas soalan itu berjumlah sebanyak dua mata pelajaran setiap hari dan malam. Bagi lima mata pelajaran, anda perlukan dua hari setengah.

Bermakna, satu minggu anda dapat menyelesaikan dua set contoh kertas soalan subjek tertentu.

Untuk latihan penulisan karangan/melengkapkan teks bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pula, jika mematuhi jadual ulang kaji ini, anda dapat menyelesaikan tujuh karangan/melengkapkan teks setiap minggu bagi setiap mata pelajaran.

Tujuh karangan itu hendaklah yang berbentuk surat kiriman, laporan, rencana, ucapan, dialog, perbahasan dan sebagainya sebagaimana yang ditetapkan dalam sukatan pelajaran.

Selamat mengulangkaji. Mudah-mudahan anda lulus UPSR dengan cemerlang.

Friday, August 15, 2008

Kelas Intensif UPSR

Cuti Pertengahan Penggal bermula esok 16 Ogos 2008 (Selamat Hari Jadi kepada anak sulungku Nur Husna) namun bagi anak-anak tahun 6 akan diadakan kelas bimbingan intensif pada 18-21 Ogos. Masa 8.00 pagi- 12.20 tengahari. Kehadiran wajib dan dengan uniform sekolah. terima kasih kepada guru2 ku yang begitu komited. Allah saja yang boleh membalasnya. Semoga usaha murni dan ikhlas kita diberi balasan baik samada di dunia ataupun di akhirat. InsyaAllah..

Wednesday, August 13, 2008

Percubaan UPSR

Tanggal 12-14 Ogos merupakan cabaran pertama bagi anak-anak kita di tahun 6 kerana sedang menjalani Ujian Percubaan UPSR. Semoga Allah swt memberikan mereka ilham dan kemudahan untuk menjawab dengan baik sebagai persediaan menghadapi ujian sebenar. Do your best my dear.

Selamat Berangkat

Kepada Cikgu Hairani dan Cikgu Rosli, kami doakan cikgu berdua selamat dan dapat mengerjakan ibadat umrah dengan sempurna. Jangan lupa doakan kesejahteraan dan kejayaan kami semua.

Surat layang

Kenapa perlu ada surat layang? Pada persepsi saya, "seseorang/pasangan seseorang" yang melayangkan surat layang adalah bagai duri dalam daging. Segala masalah dan ketidakpuasan hati boleh dibincangkan. Segala perancangan dan aktiviti yang dibuat hanya untuk peningkatan prestasi anak-anak. Jika ditakdirkan ada perubahan atau perkara yang tidak baik berlaku terutama kepada prestasi dan kemajuan anak-anak, "seseorang" tadi harus mengambil sebahagian sahamnya..

Saturday, August 2, 2008

Imagination

"Imagination is the beginning of creation. You imagine what you desire,

you will what you imagine; and at last you create what you will."

~George Bernard Shaw