Sunday, December 14, 2008

Bertukar ke SK Dengkil


Adalah dimaklumkan saya akan bertukar ke SK Dengkil mulai 17 Disember 2008 (ikut surat mula 1 Disember) atas kehendak dan permintaan pihak atasan. Saya akan digantikan oleh Guru Besar dari SK Cyberjaya.

Sebenarnya ura-ura ni dah lama kedengaran dalam daerah Sepang cuma belum tentu sah atau tidak. Walau berat hati nak meninggalkan warga SK Desa Putra yang saya sayang, apakan daya kerana kita merancang, Tuhan yang menentukan.

Sebenarnya banyak lagi tugasan dan perjuangan saya yang belum selesai namun saya mengharapkan Penolong Kanan, guru-guru, PIBG juga Guru Besar baru akan meneruskannya.

Saya memohon ampun dan maaf atas segala salah silap dan kelemahan jika ada dan saya mendoakan semoga SK Desa Putra terus cemerlang dalam semua bidang. Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua atas segala kerjasama, sokongan dan sumbangan kepada saya dan sekolah selama ini. Hubungi saya bila-bila masa jika perlu. Selamat maju jaya.

Jumpa lagi. Assalamualaikum wbt.

Saturday, November 15, 2008

Keputusan UPSR 2008




Setelah berdebar-debar menanti, 13 November menceritakan segala-galanya..result UPSR 2008. Alhamdulillah 12 orang murid berjaya mendapat keputusan 5A. Syabas dan tahniah kepada anak-anak yang berjaya. Selamat Maju Jaya. Terima kasih kepada guru-guru yang telah berusaha tanpa mengenal jemu. Bagi anak-anak Cikgu yang lain, usaha, usaha dan usaha lagi. Banyak lagi kejayaan menanti anda.

Gambar pertama adalah Hero dan Heroin SK Desa Putra yang berjaya mendapat 5A manakala gambar kedua adalah murid-murid yang berjaya mendapat keputusan 4A.

(Tunggu sambungan.. Cikgu nak berkemas. Esok nak ke Medan, Indonesia bersama Cikgu Rosli, Ust Che Adenan, Cikgu Zilah, Cikgu Azrienna, Cikgu Asiah & suami dan En. Jemali serta isteri)

Tuesday, September 9, 2008

Tibanya UPSR

Tiba lah hari-hari yang paling mendebarkan bagi semua Guru Besar dan guru-guru serta ibu bapa. UPSR 2008!. Anak-anak tahun 6? Ada yang sangat risau, ada yang risau dan ada yang tidak risau langsung. Ingat pesanan guru dan ibu bapa. Tawakkal kepada Allah. Buat yang terbaik, mohon pertolongan Nya terutama di bulan mulia bulan Ramadhan al Mubarak. InsyaAllah anda akan dapat apa yang anda usahakan. Doa guru-guru dan ibu ayah sentiasa untuk mu.

Selamat Menjalani Peperiksaan UPSR dengan penuh keyakinan. Semoga anda berjaya cemerlang.

Wednesday, September 3, 2008

Keputusan Percubaan UPSR

Tahniah kepada anak-anak muridku yang dapat result yang cemerlang dalam percubaan baru-baru ni. Semoga anda kekal cemerlang malah lebih baik lagi. Begitu juga kepada semua anak muridku yang lain. Anda juga boleh berjaya. PASTI 5A!!

Keputusan 5A

1. Amer Danish Ameruddin
2. Nur Hazwani Ahmad Suhaimi
3. Hadfina Muhd Haron Husaini
4. Nur Aqilah Saharuddin
5. Nur HamizahMohd Fauzi
6. Amir Ashraff Shahruddin

Keputusan 4A 1B

1. Nur Syuhada Ahamad Redzuan
2. Nurin Huda Abdul Mutti
3. Ain Athirah Mohd Kamal

Tahniah dan Semoga Anak-Anak Tahun 6 berjaya cemerlang..

"Selamat Menjalani UPSR pada 9 hingga 11 September 2008"

Saturday, August 30, 2008

ADAB BERPUASA DAN SOLAT TERAWIH

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain.

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak.

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat.

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia.

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga.

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat.

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin.

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air.

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.


"SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK"
"SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 51"

Thursday, August 21, 2008

10 Petua Menghadapi Peperiksaan

Khas buat anak muridku..

· Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat

Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.

· Semak soalan tahun lalu (setiap subjek)

Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.

· Banyakkan pembelajaran secara output learning

Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.

· Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasi
Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.

· Nota ringkas

Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.

· Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya

Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.

· Pemakanan berkhasiat dan seimbang

Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein (seperti kopi) kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.

· Kawal emosi

Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.

· Banyakkan berdoa dan bersolat

Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.

· Jangan panik

Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50% apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri, anda boleh menjawabnya.


****************************************

SELAMAT MENGHADAPI UPSR

PADA 9 – 11 SEPT 2008

KAMI DOAKAN ANDA SEMUA BEROLEH KEJAYAAN CEMERLANG.

MOHON LAH PERTOLONGAN ALLAH SWT DALAM APA JUA SITUASI YANG DIHADAPI

5A DI TANGAN ANDA!!

Doa dari semua ibu bapa dan guru anda..

Terima kasih cikgu

Hari ini berakhirnya Kelas Intensif 4 hari untuk murid-murid tahun 6. Kehadiran memuaskan, cuma Tahun 6G ramai juga yang tidak hadir. Tahniah kepada murid-murid yang hadir. Cikgu doakan kamu semua lulus cemerlang nanti. Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua guru yang telah sudi mengorbankan masa cuti demi anak-anak SKDP. Hanya Allah jua yang dapat membalasnya. Semoga semuanya lulus PTK 44 (bukan selisih malaikat 44). Lepas ni harap semua dapat anjakan gaji dan time base atau kalau ada rezeki dapat Guru Cemerlang atau naik gred hakiki sebagai pentadbir.

Tuesday, August 19, 2008

Panduan ulangkaji
menjelang peperiksaan UPSR 2008


Sedutan dan ubahsuai dari artikel Dr. Sulaiman Masri (konsultan kemahiran media komunikasi dan cemerlang peperiksaan) dalam Utusan Malaysia 30/7/98


Rencana hari ini khusus buat tatapan adik-adik yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Diperlihatkan satu jadual yang memuatkan aktiviti pembelajaran siang dan malam sebagai panduan adik-adik mengulangkaji lima mata pelajaran selama 30 hari sebelum peperiksaan bermula pada awal September.

Jadual ulang kaji ini hanya suatu contoh atau cadangan. Dengan yang demikian, anda boleh gunakan sepenuhnya atau gunakan sebahagian, atau membuat penyesuaiann yang seperlunya.

Apa yang saya harapkan, anda mesti memperuntukkan masa sehingga tujuh jam siang dan malam untuk membaca, mengingat dan menguasai di samping membuat latihan pengiraan dan penulisan.

Kepada ibu bapa dan sanak saudara, saya percaya sentiasa bersedia untuk memastikan anak-anak belajar menurut jadual ulang kaji cadangan ini atau jadual lain yang disenangi demi kecemerlangan dalam UPSR akan datang.

Baiklah, jadual ulang kaji UPSR ini menggunakan masa dari pukul 8 hingga pukul 5 petang dan dari pukul 8.30 malam hingga pukul 11.15 malam. Jangka masa ulang kaji, 30 hari.

SECEBIS NASIHAT

Adik-adik tentu mahu mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR? Syabas.

Nah, kalau anda ingin berjaya dengan cemerlang dalam UPSR, anda mesti belajar dengan penuh minat, tekun, sabar dan takwa. Minat, tekun dan sabar termasuk dalam pengertian motivasi diri. Takwa pula bermaksud bahawa anda (ibu bapa dan saudara mara anda) mesti mengerjakan solat dan sentiasa berdoa demi kesejahteraan dan kecemerlangan.

Badan anda perlu sihat supaya otak anda cerdas dan perasaan anda ceria. Makanan dan minuman perlu segar, bersih, halal, berzat dan dimasak supaya badan dan otak sihat sentiasa.

Kalau anda lulus dengan baik (sekurang-kurangnya 3A 2B), ibu bapa anda, guru-guru anda, kawan-kawan dan sanak saudara semuanya turut bergembira. Malah anda akan belajar di sekolah menengah dalam tingaktan satu yang baik. Apatah lagi kalau anda lulus dengan cemerlang (kelima-lima subjek dapat A).

Untuk cemerlang dalam peperiksaan anda mesti memaham, mengingat dan menguasai beratus-ratus topik, isi, rajah, jadual, rumus, angka dan sebagainya.

Oleh sebab itu, anda mesti menggunakan jadual belajar yang khusus sebagai panduan untuk membahagi masa yang seimbang.

Kalau anda belajar di dalam bilik darjah bersama kawan pada sebelah siang, anda hendaklah mengulang kaji pada waktu yang tidak belajar di sekolah sama ada waktu pagi atau waktu petang. Atau, anda menumpukan masa untuk ulang kaji pada sebelah malam.

Apa yang penting anda mesti mengutamakan masa untuk mengulang kaji lima subjek selama 30 hari ini.

Mudah-mudahan anda semakin menguasai setiap topik, fakta, bahasa, rajah, angka dan sebagainya.

Seperkara lagi yang mesti sentiasa diingat, bahawa setiap kejayaan perlukan pengorbanan. Semasa mengulangkaji ini, ada kalanya anda terpaksa kurangkan makan, kurangkan bermain, kurangkan menonton televisyen atau kurangkan tidur.

Hanya dengan pengorbanan, iaitu kesanggupan anda untuk belajar dengan tekun, sabar dan takwa, akhirnya nanti akan mendatangkan kejayaan yang diimpikan, iaitu mendapat 5A.

AKTIVITI ULANG KAJI 30 HARI

Jadual ulang kaji cadangan ini meliputi aktiviti 30 hari, dari 1 Ogos.

Masa satu subjek satu jam.

Jangka masa: Sebelah siang dari 8 pagi hingga 12.30 tengahari.

Petang: Dari 3 petang hingga 5.15 petang.

Malam: Dari 8 hingga 11.15 malam.

Untuk mengelakkan daripada letih dan tenaga mengantuk, setiap 20 minit ulang kaji anda hendaklah minum air masak sehingga empat teguk, kemudian berjalan ke tingkat dan bernafas panjang-panjang serta menghembuskannya secara perlahan-lahan sebanyak lima kali.

Anda hendaklah membaca lima buku teks yang diperaku oleh Kementerian Pendidikan bagi semua subjek.

Untuk latihan menjawab soalan aneka pilihan (objektif), anda bolehlah menggunakan buku-buku panduan yang ditulis atau disusun oleh penulis yang berwibawa dan diterbitkan oleh penerbit yang terkenal.

Perlu diingat, untuk memaham atau mengingat topik dan maklumat tertentu, anda mungkin perlu mengulang kaji topik yang sama sehingga sepuluh kali.

Ini perkara biasa adik-adik.

Kalau adik belajar menunggang basikal pun, anda perlu beberapa kali belajar sebelum pandai berkayuh.

Setiap kali hendak ulang kaji dan menjawab soalan peperiksaan, bagi murid beragama Islam, baca dahulu

Bissmillahhirrahmanirrahim

dan doa belajar, misalnya:

Rabbisyrah li syadri wa yassir li amri wahlul uqdatan millisani yafqahu qauli

atau doa ini:

Allahumma akhirijna minzulumatilwahmi wa akrimna binurilfahmi waftah alaina bimakrifatika wa sahhillana abwaba fadlika ya arhamarrahimin, dan sebagainya.

Ingat, semasa membaca untuk ulang kaji anda mesti berusaha memaham, mengingat, menghafal dan menguasai isi, perhendaharaan kata (bahasa Melayu/bahasa Inggeris), rajah, jalan pengiraan, ejaan tempat/orang/benda, tarikh, gambar, tanda baca, simbol, rumus dan tatabahasa.


Jadual Belajar Bestari
1 Ogos - 7 September

8 - 9 pagi

Bahasa Melayu Kefahaman

9 - 10 pagi

Bahasa Melayu Penulisan dan tulis sebuah karangan

10.30 - 11.30 pagi

Matematik, misalnya nombor bulat dan operasi

11.30 pagi - 12.30 tengahari

Sains misalnya plant's protection

12.30 - 3 petang

makan/solat Zohor/rehat/tidur siang

3 - 4 petang

latihan mengeja nama tempat/nama orang/nama benda, dan latihan melukis gambar rajah sains

4 - 5 petang

latihan menjawab contoh kertas soalan, misalnya Matematik daripada buku latihan oleh penyusun/penerbit ternama. Kemudian semak jawapan daripada contoh jawapan. Sebaik-baik latihan ini diperiksa oleh ibu bapa atau sanak saudara yang prihatin

6.30 - 6.45 petang

mandi

7 - 7.25 petang

makan malam. Makan pada waktu begini baik diamalkan sebab anda boleh khusuk melakukan solat Maghrib dan semasa belajar sejam kemudian anda tidak mudah mengantuk disebabkan makanan sudah hadam

7.25 - 7.45 malam

solat Maghrib

8 - 8.30 malam

mengikuti siaran berita daripada televisyen atau radio dan cuba contohi cara betul menyebut perkataan, nama orang, nama tempat, dan pembinaan ayat

8.30 - 9 malam

rehat/solat Isya

9 - 10 malam

bahasa Inggeris. Bagi perkataan, pastikan anda menghafal ejaan, ejaan, makna, selok-belok bahasa serta tatabahasa

10 - 11 malam

latihan menjawab contoh kertas soalan, misalnya Sains

11.30 malam - 6 pagi

tidur

Demikianlah contoh aktiviti ulang kaji bagi lima subjek pada sebelah siang dan malam.

Anda lakukan ulang kaji setiap hari dan malam dari 1 hingga 30 Ogos menurut mata pelajaran yang dicadangkan.

Perubahan pada topik-topik setiap mata pelajaran sehingga faham dan ingat.

Jika anda mengulang kaji setiap topik dan kandungannya dengan bergilir dan seimbang, Insya-Allah anda semakin menguasai setiap isi, rajah dan maklumat yang penting untuk peperiksaan.

Bagi latihan menjawab contoh kertas soalan lima mata pelajaran yang disediakan oleh penulis/penerbit ternama, bolehlah anda lakukan secara bergilir pada sebelah petang (4 - 5 petang) dan pada sebelam malam (10 - 11 malam).

Ini bermakna latihan menjawab daripada contoh-contoh kertas soalan itu berjumlah sebanyak dua mata pelajaran setiap hari dan malam. Bagi lima mata pelajaran, anda perlukan dua hari setengah.

Bermakna, satu minggu anda dapat menyelesaikan dua set contoh kertas soalan subjek tertentu.

Untuk latihan penulisan karangan/melengkapkan teks bahasa Melayu dan bahasa Inggeris pula, jika mematuhi jadual ulang kaji ini, anda dapat menyelesaikan tujuh karangan/melengkapkan teks setiap minggu bagi setiap mata pelajaran.

Tujuh karangan itu hendaklah yang berbentuk surat kiriman, laporan, rencana, ucapan, dialog, perbahasan dan sebagainya sebagaimana yang ditetapkan dalam sukatan pelajaran.

Selamat mengulangkaji. Mudah-mudahan anda lulus UPSR dengan cemerlang.

Friday, August 15, 2008

Kelas Intensif UPSR

Cuti Pertengahan Penggal bermula esok 16 Ogos 2008 (Selamat Hari Jadi kepada anak sulungku Nur Husna) namun bagi anak-anak tahun 6 akan diadakan kelas bimbingan intensif pada 18-21 Ogos. Masa 8.00 pagi- 12.20 tengahari. Kehadiran wajib dan dengan uniform sekolah. terima kasih kepada guru2 ku yang begitu komited. Allah saja yang boleh membalasnya. Semoga usaha murni dan ikhlas kita diberi balasan baik samada di dunia ataupun di akhirat. InsyaAllah..

Wednesday, August 13, 2008

Percubaan UPSR

Tanggal 12-14 Ogos merupakan cabaran pertama bagi anak-anak kita di tahun 6 kerana sedang menjalani Ujian Percubaan UPSR. Semoga Allah swt memberikan mereka ilham dan kemudahan untuk menjawab dengan baik sebagai persediaan menghadapi ujian sebenar. Do your best my dear.

Selamat Berangkat

Kepada Cikgu Hairani dan Cikgu Rosli, kami doakan cikgu berdua selamat dan dapat mengerjakan ibadat umrah dengan sempurna. Jangan lupa doakan kesejahteraan dan kejayaan kami semua.

Surat layang

Kenapa perlu ada surat layang? Pada persepsi saya, "seseorang/pasangan seseorang" yang melayangkan surat layang adalah bagai duri dalam daging. Segala masalah dan ketidakpuasan hati boleh dibincangkan. Segala perancangan dan aktiviti yang dibuat hanya untuk peningkatan prestasi anak-anak. Jika ditakdirkan ada perubahan atau perkara yang tidak baik berlaku terutama kepada prestasi dan kemajuan anak-anak, "seseorang" tadi harus mengambil sebahagian sahamnya..

Saturday, August 2, 2008

Imagination

"Imagination is the beginning of creation. You imagine what you desire,

you will what you imagine; and at last you create what you will."

~George Bernard Shaw

Friday, July 11, 2008

Kursus Tasawwur Islam


Selepas semua murid tahun 6 selesai berkursus di ILIM pada 13-15 Jun 2008, giliran guru-guru dan staf pula. Seramai 54 orang guru termasuk NYDP PIBG, staf sokongan dan 1 pekerja swasta telah mengikuti Kursus Tasawwur Islam di sana pada 27-29 Jun baru-baru ni. Tasawwur bermakna penghayatan Islam. Alhamdulillah kerana kami semua diberikan peluang keemasan ini.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YBhg Ustaz Shukri, KPP Unit Dakwah mewakili Pengarah ILIM. Turut hadir memberikan ucapan adalah Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Sepang, Encik Abd Rahman b Ngit. Kami warga sekolah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak PPD Sepang dan ILIM. Kerjasama tuan memberikan banyak manfaat kepada kami.

UPSR 2008

Wahai anak-anak muridku;

UPSR akan menjelang pada 9 September nanti. Adakah anda sudah bersedia?
Minta lah pertolongan Allah dalam apa jua yang yang kita usahakan.

Pengurusan pejabat vs pengurusan kedai kopi


Terdapat tiga persamaan:

i. Kedai kopi melayan pelanggan seorang demi seorang. Setiap kali pelanggan datang memesan secawan kopi, satu cawan lah dibuatnya. Bila pelanggan lain memesan, pekedai buat secawan lagi kerana air kopi tidak boleh dibuat sekali gus walaupun ia perkara yang sama. Begitu lah juga layanan yang seharusnya diberi kepada pelanggan kita. Jangan sekali-kali menunggu untuk melayan pelanggan. Layanan harus disegerakan seperti mana kedai kopi tadi. Kedai kopi tadi laris kerana cerita baik yang dibawa oleh pelanggan.

ii. Pekedai melihat pelanggan dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Ini kerana dengan adanya pelangganlah kita dapat bisnes kedai kopi . Begitulah juga dengan pelanggan di pejabat. Dengan adanya pelangganlah kita dapat bekerja di pejabat.

iii. Budaya yang boleh diterapkan ialah kejujuran. Pemilik kedai kopi tidak akan memasukkan sesuatu yang tidak baik ke dalam air kopi yang dibuatnya.

Wallahhuaqlam

Wednesday, June 25, 2008

Hari Terbuka

Hari pengambilan Buku Laporan Adab Belajar (LAB) atau Hari Terbuka untuk Peperiksaan Pertengahan Tahun akan diadakan pada 27 Jun 2008, hari Jumaat ni. Semua murid diminta hadir pada sesi pagi. Semua ibu bapa/penjaga dijemput hadir mulai jam 8.00 pagi - 12.00 tengahari.

Ini juga berikutan semua guru, staf dan pekerja swasta akan hadir kursus Tasawwur Islam yanag akan berlangsung pada 27 hingga 29 Jun di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi. 4 orang PIBG termasuk YDP dan NYDP juga turut serta.

Sunday, June 15, 2008

SK Desa Putra 2002

SK DESA PUTRA

Short History Of The School

SK DESA PUTRA, formally known as SK RKT SG. MERAB was built in 1964 with only a block comprising three classes. It was officially opened by the Menteri Besar of Selangor, YB En. Harun Bin Idris on Wednesday, 29 July 1964.

From her humble beginning, SK DESA PUTRA has changed tremendously both in terms of size and academic achievements. Now SK DESA PUTRA has seven blocks of building and nine houses for her staff.

In 2003, 8 candidates obtained 5As in UPSR; the highest achievement recorded so far. SK DESA PUTRA is always on the move to achieve her goals.

School Motto

"Knowledgeable, Practice, Piety"
"Berilmu, Beramal, Beriman"

School Mission

To produce students who would be able to contribute to their religion, race and the country in the near future.

Contact

SK DESA PUTRA
Sungai Merab, 43000 Kajang,
Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-89255928
Fax: 03-89255928

Kursus Menjana Kecemerlangan Insan UPSR SKDP-ILIM

Pada 13-15 Jun 2008 SK Desa Putra dengan usaha guru kaunselor Cikgu Afindi dan ajk telah mengadakan program tersebut dengan kerjasama dan tajaan Institut Latihan Islam Malaysia. Program ini dijalankan di ILIM, Bangi dengan kemudahan makan dan penginapan yang cukup baik. Seramai 120 orang murid tahun 6 terlibat. Antara slot yang telah diberi adalah teknik menjawab soalan kertas UPSR dan bina insan. Modul dari fasilitator ILIM nampaknya cukup berkesan di hati murid-murid tahun 6 dan diharapkan ada perubahan sikap yang ketara di kalangan mereka dan seterusnya mengukir kejayaan besar buat mereka. Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Pusat Pengajian Sains Dakwah Ustaz Mohd Shukri b Said. Turut hadir adalah YDP dan NYDP PIBG. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Pengarah ILIM serta semua pihak dan urusetia yang sudi membantu kami semua serta guru-guru yang telah bertungkus lumus menjayakan program sehingga berjaya dengan lancarnya. Semoga program seperti ini akan diteruskan untuk tahun-tahun akan datang. TERIMA KASIH ILIM.
(Gambar akan di postkan nanti)

Thursday, June 12, 2008

Umur Persaraan 58 tahun

Taklimat untuk guru-guru sesi petang telah diadakan hari ini 12 Jun 2008 pada waktu rehat jam 3.40 petang. Nampaknya ramai juga guru wanita ingin kekal bersara umur 56 tahun. Fikir betul-betul cikgu..masih boleh tukar fikiran sebelum borang tandatangan tersebut dihantar ke PPD. Esok akan diadakan taklimat untuk guru-guru sesi pagi.


JPA/PEN/228/25/1/Jld.4 No. Siri:

KERAJAAN MALAYSIA

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 6 TAHUN 2008

TAWARAN OPSYEN PELANJUTAN UMUR PERSARAAN WAJIB

KEPADA 58 TAHUN

TUJUAN

1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan untuk melanjutkan umur persaraan wajib anggota tetap di dalam sektor awam (meliputi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri serta pekerja Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan) daripada 56 tahun kepada 58 tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2008.

LATAR BELAKANG

2. Umur persaraan wajib anggota tetap di dalam sektor awam yang tertakluk kepada Skim Pencen atau pun kepada Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperuntukkan di bawah Akta Pencen 1980 [Akta 227] bagi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri dan di bawah Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun Dan Tempatan 1980 [Akta 239] bagi pekerja Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan. Kini, undang-undang berkenaan menetapkan bahawa seseorang anggota yang dilantik ke dalam perkhidmatan awam pada atau selepas 1 Oktober 2001 hendaklah bersara apabila ia mencapai umur 56 tahun. Di samping itu, anggota yang telah dilantik sebelum 1 Oktober 2001 hendaklah bersara apabila ia mencapai sama ada umur 55 tahun atau 56 tahun, mengikut opsyennya di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2001.

3. Akta 227 dan Akta 239 dipinda untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 56 tahun kepada 58 tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2008. Dengan pindaan tersebut, anggota tetap yang dilantik pada atau selepas tarikh kuat kuasa hendaklah bersara apabila mencapai umur 58 tahun sebagai syarat perkhidmatannya. Pindaan tersebut juga memperuntukkan supaya anggota yang sedang berkhidmat sehingga 30 Jun 2008 diberi opsyen untuk bersara wajib apabila mencapai umur 58 tahun atau kekal dengan umur persaraan wajib 55/56 tahun.

IMPLIKASI OPSYEN UNTUK BERSARA

APABILA MENCAPAI UMUR 58 TAHUN

Pemakaian undang-undang pencen dan peraturan-peraturan lain

4. Sepanjang tempoh perkhidmatan selepas mencapai umur 55/56 tahun, seseorang anggota yang membuat opsyen untuk berkhidmat sehingga mencapai umur 58 tahun adalah terus tertakluk kepada Undang-Undang Pencen serta Perintah Am, Peraturan Perkhidmatan, Skim Perkhidmatan, Pekeliling Perkhidmatan, Surat Pekeliling Perkhidmatan dan arahan-arahan lain yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.

Pengambilan kira tempoh perkhidmatan

5. Bagi anggota di bawah Skim Pencen, tempoh perkhidmatannya sehingga mencapai umur 58 tahun adalah dimasuk kira bagi perkiraan faedah-faedah persaraan, tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta 227 atau Akta 239, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Persaraan awal

6. Anggota yang telah membuat opsyen untuk bersara wajib apabila mencapai umur 58 tahun masih boleh dikehendaki bersara awal atas kehendak Kerajaan pada bila-bila masa di bawah peruntukan-peruntukan Akta 227 atau Akta 239. Anggota itu juga boleh memohon bersara secara pilihan sebelum mencapai umur 58 tahun di bawah undang-undang yang sama.

Permulaan pemberian pencen berkaitan persaraan pilihan

7. Bagi anggota yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991 dan kemudiannya diluluskan persaraan pilihan, ganjaran dan pemberian wang tunai gantian cuti rehat (GCR) diberi ketika bersara tetapi pencen akan mula diberi apabila mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya melalui pilihan atau lantikan, iaitu sama ada 55 tahun atau 56 tahun atau 58 tahun. Anggota yang dilantik sebelum 12 April 1991 yang bersara pilihan layak diberi pencen apabila mencapai umur 45 tahun (bagi perempuan) atau 50 tahun (bagi lelaki).

Pemberian faedah persaraan berkaitan dengan persaraan setelah dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan atas terma dan syarat perkhidmatan sama seperti dalam Skim Baru

8. Bagi pegawai tetap yang dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan atas terma dan syarat perkhidmatan sama seperti dalam Skim Baru dan bersara di bawah Seksyen 12A Akta 227, faedah persaraan (ganjaran, GCR dan pencen) akan dibayar seperti berikut –

(i) Sekiranya dilantik dalam perkhidmatan awam sebelum 16 Mei 1986, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 45 tahun (perempuan) atau 50 tahun (lelaki) atau pada umur 55/56/58 tahun, mengikut umur persaraan wajib yang dipilih;

(ii) Sekiranya dilantik pada atau selepas 16 Mei 1986, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 55/56/58 tahun mengikut umur persaraan wajib yang dipilih; dan


(iii) Sekiranya dilantik pada atau selepas 1 Oktober 2001, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 56/58 tahun mengikut umur persaraan wajib yang dipilih.

9. Bagi pekerja tetap yang dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan atas terma dan syarat perkhidmatan sama seperti dalam Skim Baru selepas berkuat kuasanya pindaan ini dan bersara di bawah Seksyen 13 Akta 239 –

(i) Sekiranya dilantik dalam perkhidmatan Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun atau Tempatan sebelum 1 Oktober 2001, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 55/56/58 tahun, mengikut umur persaraan wajib yang dipilih; dan

(ii) Sekiranya dilantik pada atau selepas 1 Oktober 2001, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 56/58 tahun, mengikut umur persaraan wajib yang dipilih.

Penggantungan pencen yang diberi kepada anggota yang dibersarakan atas alasan kepentingan negara

10. Bagi anggota yang dibersarakan atas alasan kepentingan negara di bawah Seksyen 11 (a) (i) atau 11 (b) (i) Akta 227 atau 11 (a) Akta 239 dan dalam tempoh 5 tahun persaraannya melibatkan dirinya dalam apa-apa aktiviti yang mungkin bercanggah dengan tujuan ia disarakan, pencennya boleh digantung seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Akta 227 atau Seksyen 26 Akta 239 sehingga


beliau mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya melalui pilihan iaitu sama ada 55/56/58 tahun.

PELAKSANAAN

Anggota Yang Layak Ditawarkan Opsyen

11. Opsyen diberi kepada anggota tetap yang sedang berkhidmat yang akan mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya melalui pilihan atau lantikan, iaitu sama ada 55 tahun atau 56 tahun pada atau selepas 1 Julai 2008. Sebagai penjelasan, hanya anggota yang berada dalam perkhidmatan pada 30 Jun 2008 boleh ditawarkan opsyen ini.

12. “Anggota tetap” yang dimaksudkan adalah termasuk anggota yang sedang–

(i) dalam tempoh percubaan;

(ii) dipinjamkan;

(iii) dalam pertukaran sementara;

(iv) bercuti tanpa gaji;

(v) bercuti belajar atau berkursus;

(vi) dalam tindakan tatatertib yang belum berkeputusan muktamad anggota itu dibuang kerja;

(vii) tertakluk sama ada kepada Skim Pencen atau Skim KWSP; dan

(viii) berkhidmat di agensi Kerajaan berasaskan Sistem Saraan yang diasingkan dan pemberian faedah persaraannya adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 6B, 6C dan 6D, atau 6E, 6F dan 6G Akta 239.


13. Tarikh lahir yang diiktiraf bagi urusan penetapan umur persaraan wajib ialah tarikh lahir yang dicatat dalam Buku Rekod Perkhidmatan anggota. Sebarang pindaan tarikh lahir dalam Buku Rekod Perkhidmatan hendaklah dilakukan berasaskan syarat-syarat di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2002.

Borang Opsyen

14. Ketua Jabatan hendaklah mengedarkan borang opsyen seperti di Lampiran A kepada setiap anggota yang layak diberi opsyen.

Tempoh Opsyen

15. Opsyen hendaklah dibuat dan borang opsyen diserahkan kepada Ketua Jabatan sebelum 1 Julai 2008. Anggota yang tidak membuat opsyen atau tidak menyerahkan borang opsyen sebelum tarikh tersebut atau yang membuat opsyen dengan bantahan atau syarat tambahan disifatkan sebagai menolak opsyen ini dan memilih untuk kekal bersara pada umur persaraan yang terpakai baginya sebelum pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan ini, iaitu sama ada 55 tahun atau 56 tahun, mengikut mana-mana yang berkenaan. Opsyen oleh anggota menjadi operatif pada 1 Julai 2008 dan adalah muktamad.

Merekod Opsyen Anggota Dalam Buku Rekod Perkhidmatan

16. Ketua Jabatan bertanggungjawab mencatatkan ke dalam Buku Rekod Perkhidmatan anggota maklumat seperti berikut :


Opsyen Di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2008

Telah memilih untuk kekal bersara wajib apabila mencapai umur 55/56 tahun *, dan tertakluk kepada Akta Pencen 1980 (Akta 227) dibaca bersama-sama Akta Pencen (Pindaan) 2008 / Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239) dibaca bersama Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2008*, tertakluk kepada semua peruntukan Akta Pindaan tersebut”

(ATAU)

Telah memilih untuk bersara wajib apabila mencapai umur 58 tahun, dan tertakluk kepada Akta Pencen 1980 (Akta 227) dibaca bersama-sama Akta Pencen (Pindaan) 2008 / Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239) dibaca bersama Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2008*, tertakluk kepada semua peruntukan Akta Pindaan tersebut”

Tandatangan pihak yang mengesahkan, jawatannya

dan tarikh pengesahan

*Potong mana yang tidak berkenaan. Akta 227 ialah bagi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan atau Negeri dan Akta 239 ialah bagi pekerja Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.


Maklum Balas Ketua Jabatan Kepada

Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pasca Perkhidmatan)

17. Ketua Jabatan hendaklah menghantar kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pasca Perkhidmatan) borang maklum balas seperti di Lampiran B sebelum 1 Ogos 2008.

18. Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pasca Perkhidmatan) telah menangguhkan pemprosesan kes-kes persaraan wajib pada umur 55/56 tahun yang telah diterima daripada Ketua Jabatan sebelum keluarnya Pekeliling Perkhidmatan ini bagi semua anggota yang layak diberi opsyen. Bagi semua kes tersebut, Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan kepada Jabatan ini dengan secepat mungkin selepas menerima opsyen daripada anggota –

(i) sesalinan borang opsyen seperti di Lampiran A yang telah disempurnakan oleh anggota; dan

(ii) sesalinan muka surat terakhir Buku Rekod Perkhidmatan anggota yang tercatat opsyen seperti di perenggan 16 Pekeliling Perkhidmatan ini serta tarikh persaraan wajibnya mengikut opsyen tersebut.



Sumbangan Kumpulan Karangkraf

Majlis ini telah diadakan pada 12 Jun 2008 juga jam 11.30 pagi. Sumbangan berbentuk majalah dan buku keluaran Karangkraf Sdn Bhd telah disampaikan oleh Encik Hashim b Anang, Manager Public Relations.

Minggu Kitar Semula PERMATA










Alhamdulillah SK Desa Putra telah dipilih oleh pihak Petronas Management Training Sdn. Bhd (PMTSB) PERMATA-INSTEP untuk mengadakan program Kitar Semula. Program ini diadakan pada 12 Jun 2008 dari jam 8.30 - 10.45 pagi. Pihak mereka telah menaja makan minum murid dan guru dan menyerahkan 4 buah tong Kitar Semula. Acara telah dirasmikan oleh En. Ho Sook Wah, Ketua Pegawai Eksekutif PMTSB. Acara seterusnya adalah ceramah oleh Tn. Hj. M Yunus M Yusuf dari INSTEP dan pertandingan kuiz untuk murid-murid. Seronok sungguh murid-murid kerana mereka mendapat banyak hadiah.

Tetamu jemputan dan Kehormat yang turut hadir adalah En. Hashim b Kamarudin, Penolong PPD Sepang mewakili PPD, Tn, Hj. Jemali Marsidi NYDP PIBG sekolah ini, Profesor UPM, serta ramai pegawai dari PMTSB. Mereka seronok berada di SKDP kerana masih wujud suasana sekolah kampung dan kata mereka, terkenang zaman persekolahan dulu. Tentu mereka semua adalah murid-murid cemerlang..

Murid-murid telah menyumbangkan bahan kitar semula pada hari tersebut. Tak sampai 2 jam, tong kertas dan botol plastik dah penuh. Wang kutipan nanti akan disumbangkan kepada tabung PIBG. Ibu bapa dan seluruh warga SKDP diharapkan menyokong penuh program ini dengan memberikan sumbangan bahan kitar semula seperti kertas, kotak, plastik, tin aluminium, bateri terpakai, komponen komputer terpakai, botol kaca dsbnya.

Semoga kerjasama ini akan berterusan. TERIMA KASIH PERMATA.

APA ITU KITAR SEMULA?
Proses mengitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah.

SETIAP HARI KITA MENGHASILKAN 15,000 TAN SAMPAH, TETAPI KITA SEMAKIN KESEMPITAN RUANG UNTUK MENAMPUNGNYA.
Kita biasanya tidak memirkirkan di manakah sampah sarap kita dibuang atau apakah yang terjadi kepadanya sebaik sahaja ia dipungut. Hakikatnya lori sampah tidak dapat menghapuskannya begitu sahaja. Ia biasanya akan diangkut ke tapak pelupusan sampah.
Kapasiti tapak pelupusan sampah kita semakin terhad. Di masa yang sama kita terpaksa menghabiskan jutaan ringgit untuk mengangkut dan melupuskan sampah. Lebih membimbangkan lagi, kini timbul rungutan tentang pencemaran, resapan bahan kimia ke dalam sumber air bawah tanah dan isu isu keselamatan yang berkaitan.
Sudah tiba masanya kita menangani masalah ini sebelum terlewat. Fikir dulu sebelum buang. Jadikan amalan mengitar semula sebagai sebahagian hidup kita.

Terdapat 4 jenis item yang disarankan kepada orang ramai untuk dikitar semula. Item-item tersebut adalah plastik, kertas, aluminium dan kaca.




Semua jenis kaca termasuklah botol minuman, bekas makanan, botol vitamin dan bekas kosmetik.

Semua jenis kaca ini mestilah diletakkan di dalam tong yang berwarna COKLAT


Semua jenis barang yang diperbuat daripada aluminium seperti tin-tin minuman boleh dikitar semula.

Ia juga mestilah dimasukkan ke dalam tong yang berwarna JINGGA


Semua jenis kertas sama ada yang berwarna ataupun yang tidak berwarna, seperti suratkhabar lama, majalah lama, buku, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat dan kotak boleh dikitar semula.

Semua jenis kertas mestilah dimasukkan ke dalam tong yang berwarna BIRU.


Beg-beg membeli belah plastik, beg plastik dari supermarkat, botol minuman plastik, botol air mineral dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik boleh diproses untuk dikitar semula.

Semua jenis plastik ini mestilah dimasukkan ke dalam tong yang berwarna JINGGA.

KENAPA KITAR SEMULA?
Kitar semula untuk memelihara ruang hidup kita. Pada masa ini terdapat kira-kira 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya berkeluasan antara 20 hingga 150 ekar, bergantung pada lokasi dan jumlah sampah ynag dibuang. Sebaik sahaja sebuah tapak pelupusan sampah dipenuhi sampah, tapak baru akan dibuka. Lambat laun, tapak-tapak ini akan berkembang dan menular mencerobohi ruang hidup kita.

- Kitar semula untuk persekitaran yang lebih sihat dan lebih bersih
Sampah boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Jika dibiarkan bersepah, ia akan menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit seperti tikus dan gagak. Melalui kitar semula, kita dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada merebak.

- Kitar semula untuk mengurangkan pencemaran
Longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah merupakan salah satu punca pencemaran dalam iklim tropika. Amalan mengitar semula dapat mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan udara.

- Kitar semula untuk menjimatkan kos
Dalam jangka panjang, mengitar semula adalah lebih menjimatkan berbanding dengan usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang lain. Apabila program kitar semula bertambah cekap, sampah yang perlu dilupus akan semakin berkurangan. Ini seterusnya akan memanfaatkan anda kerana caj untuk pelupusan sampah akan dikurangkan.

- Kitar semula untuk menjimatkan sumber kita
Ramai yang tidak sedar bahawa kita sebenarnya membuang sumber yang amat bernilai. Tahukah anda Malaysia mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan setiap bulan untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan? Kita juga mengimport bahan baungan lain untuk industri pengeluaran yang lain.

- Kitar semula untuk menjimatkan tenaga
Tenaga yang dapat dijimatkan untuk mengitar semula satu tin aluminium adalah bersamaan dengan tenaga yang digunakan untuk memasang TV selama 3 jam. Mengitar semula kaca menurunkan suhu lebur untuk kaca baru sambil menjimatkan sehingga 32% tenaga yang diperlukan untuk pengeluaran kaca.

- Kitar semula untuk menyelamatkan hutan
Untuk menghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 pohon pokok terpaksa ditebang. Mengitar semula kertas akan mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara hutan kerana ia merupakan paru-paru yang memberi kita oksigen dan udara bersih.

KITAR SEMULA

Fikir Dulu Sebelum Buang



Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008






Demi menghargai khidmat cemerlang guru-guru, seramai 4 orang guru telah dipilih oleh pentadbir untuk dianugerahkan APC 2008 bagi prestasi mereka pada tahun lepas. Guru-guru tersebut adalah Ustazah Wahida, Cikgu Siti Hariyani, Cikgu Suraya dan Cikgu Norzilah. Majlis anugerah telah diadakan pada 10 Jun 2008 bertempat di Kem Bina Negara, Tanjung Rhu, Sg. Pelek, Sepang dan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor Tn. Hj. Bajuri. Semoga cikgu terus meningkatkan lagi prestasi dan menjadi Guru Cemerlang satu hari nanti. TAHNIAH!

Berita guru

Mulai 1 Jun 2008 Cikgu Noorihan Abdullah, guru B.Inggeris telah bertukar ke SK Putrajaya Presint 14. Selamat Maju Jaya. Guru-guru lain yang mohon pertukaran tidak diluluskan. Semoga cikgu-cikgu tetap komited dalam mendidik anak-anak murid. InsyaAllah kalau ada rezeki cikgu dapat bertukar.

Ustazah Rosliza dan Cikgu Tengku Rosmawati telah selamat melahirkan anak. Semoga sihat selalu. Guru ganti adalah siswa UKM Cikgu Qahhar dan Cikgu Kasri. Semoga kedua-dua cikgu ini mendapat pengalaman yang sangat berguna.

Thursday, May 15, 2008

Selamat Hari Guru 16 mei 2008

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga SK Desa Putra khususnya dan rakan-rakan amnya. Selamat meneruskan tanggungjawab kita yang sungguh mulia.

Pembelajaran koperatif dan kolaboratif

Banding & Beza Di Antara Pembelajaran Koperatif Dan Pembelajaran Kolaboratif

horizontal rule

Sumber: Matthews, Roberta S.; Cooper, James L.; Davidson, Neil; Hawkes, Peter. Building bridges between cooperative and collaborative learning

Pembelajaran kolaboratif adalah berasaskan pembelajaran koperatif. Untuk mewujudkan bilik darjah kolaboratif, cara yang mudah adalah dengan menjalankan pembelajaran koperatif di mana guru dapat mengawal lebih banyak pembolehubah dalam kelas. Apabila pelajar-pelajar membiasakan diri dengan cara bekerjasama, saling bergantung antara satu sama lain untuk memperoleh ilmu, mereka akan berkembang untuk menjadi pelajar-pelajar kolaboratif.

Jadual berikut merumuskan persamaan dan perbezaan di antara pembelajaran koperatif dan pembelajaran kolaboratif.

Persamaan Antara Pembelajaran Koperatif dan Pembelajaran Kolaboratif

Kedua-dua strategi mementingkan pembelajaran aktif

Dalam kedua-dua situasi, guru berperanan sebagai fasilitator.

Dalam bilik darjah koperatif dan kolaboratif, pengajaran dan pembelajaran dialami oleh guru dan murid.

Kedua-dua strategi memantapkan kemahiran kognitif beraras tinggi.

Dalam kedua-dua situasi, pelajar dikehendaki memikul tanggungjawap atas pembelajaran diri sendiri.

Kedua-dua bentuk pembelajaran menghendakkan pelajar menyampaikan idea dalam kumpulan kecil.

Kedua-duanya membangunkan kemahiran sosial dan pembinaan pasukan.

Kedua-dua pembelajaran telah menolong meningkatkan kejayaan pelajar dan ingatan pengetahuan.

Kedua-duanya menggunakan kepelbagaian pelajar.

Perbezaan Antara Pembelajaran Koperatif dan Pembelajaran Kolabaratif

Dalam Pembelajaran Koperatif...

Dalam Pembelajaran Kolaboratif

Pelajar menerima latihan dalam kemahiran berkumpulan dan sosial.

Adalah dipercayai bahawa pelajar telah memiliki kemahiran sosial yang dikehendaki. Mereka dikehendaki membangunkan kemahiran sedia ada untuk mencapai matlamat pembelajaran.

Aktiviti distrukturkan di mana setiap pelajar memainkan peranan spesifik.

Pelajar-pelajr merunding dan mengorganisasi usaha sendiri.

Guru memantau, mendengar dan mencampur tangan kegiatan kumpulan jika perlu.

Aktiviti kumpulan tidak dipantau oleh guru. Jika timbul persoalan, soalan itu dijawab oleh kumpulan itu sendiri. Guru cuma membimbing pelajar ke arah penyelesaian persoalan.

Pelajar dikehendai menghantar kerja di akhir pelajaran untuk dinilai.

Pelajar menyimpan draf kerja untuk kerja-kerja lanjutan.

Pelajar-pelajar menilai prestasi individu dan kumpulan dengan dibimbing oleh guru.

Pelajar-pelajar menilai prestasi individu dan kumpulan tanpa dibimbing oleh guru.

horizontal rule
Jabatan Ilmu Pendidikan
Maktab Perguruan Sandakan
Beg Berkunci No. 31,
90009 Sandakan, Sabah.
Tel: 089-218610
Faks: 089-213814
Disediakan oleh:
Ng Kim Choy (M.Tech.Mgt.,B.A. (Hons.), Dip.Ed.),
Ketua Jabatan,
Jabatan Ilmu Pendidikan, MPSS.
13 Mei 2000