Thursday, June 12, 2008

Minggu Kitar Semula PERMATA










Alhamdulillah SK Desa Putra telah dipilih oleh pihak Petronas Management Training Sdn. Bhd (PMTSB) PERMATA-INSTEP untuk mengadakan program Kitar Semula. Program ini diadakan pada 12 Jun 2008 dari jam 8.30 - 10.45 pagi. Pihak mereka telah menaja makan minum murid dan guru dan menyerahkan 4 buah tong Kitar Semula. Acara telah dirasmikan oleh En. Ho Sook Wah, Ketua Pegawai Eksekutif PMTSB. Acara seterusnya adalah ceramah oleh Tn. Hj. M Yunus M Yusuf dari INSTEP dan pertandingan kuiz untuk murid-murid. Seronok sungguh murid-murid kerana mereka mendapat banyak hadiah.

Tetamu jemputan dan Kehormat yang turut hadir adalah En. Hashim b Kamarudin, Penolong PPD Sepang mewakili PPD, Tn, Hj. Jemali Marsidi NYDP PIBG sekolah ini, Profesor UPM, serta ramai pegawai dari PMTSB. Mereka seronok berada di SKDP kerana masih wujud suasana sekolah kampung dan kata mereka, terkenang zaman persekolahan dulu. Tentu mereka semua adalah murid-murid cemerlang..

Murid-murid telah menyumbangkan bahan kitar semula pada hari tersebut. Tak sampai 2 jam, tong kertas dan botol plastik dah penuh. Wang kutipan nanti akan disumbangkan kepada tabung PIBG. Ibu bapa dan seluruh warga SKDP diharapkan menyokong penuh program ini dengan memberikan sumbangan bahan kitar semula seperti kertas, kotak, plastik, tin aluminium, bateri terpakai, komponen komputer terpakai, botol kaca dsbnya.

Semoga kerjasama ini akan berterusan. TERIMA KASIH PERMATA.

APA ITU KITAR SEMULA?
Proses mengitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah.

SETIAP HARI KITA MENGHASILKAN 15,000 TAN SAMPAH, TETAPI KITA SEMAKIN KESEMPITAN RUANG UNTUK MENAMPUNGNYA.
Kita biasanya tidak memirkirkan di manakah sampah sarap kita dibuang atau apakah yang terjadi kepadanya sebaik sahaja ia dipungut. Hakikatnya lori sampah tidak dapat menghapuskannya begitu sahaja. Ia biasanya akan diangkut ke tapak pelupusan sampah.
Kapasiti tapak pelupusan sampah kita semakin terhad. Di masa yang sama kita terpaksa menghabiskan jutaan ringgit untuk mengangkut dan melupuskan sampah. Lebih membimbangkan lagi, kini timbul rungutan tentang pencemaran, resapan bahan kimia ke dalam sumber air bawah tanah dan isu isu keselamatan yang berkaitan.
Sudah tiba masanya kita menangani masalah ini sebelum terlewat. Fikir dulu sebelum buang. Jadikan amalan mengitar semula sebagai sebahagian hidup kita.

Terdapat 4 jenis item yang disarankan kepada orang ramai untuk dikitar semula. Item-item tersebut adalah plastik, kertas, aluminium dan kaca.




Semua jenis kaca termasuklah botol minuman, bekas makanan, botol vitamin dan bekas kosmetik.

Semua jenis kaca ini mestilah diletakkan di dalam tong yang berwarna COKLAT


Semua jenis barang yang diperbuat daripada aluminium seperti tin-tin minuman boleh dikitar semula.

Ia juga mestilah dimasukkan ke dalam tong yang berwarna JINGGA


Semua jenis kertas sama ada yang berwarna ataupun yang tidak berwarna, seperti suratkhabar lama, majalah lama, buku, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat dan kotak boleh dikitar semula.

Semua jenis kertas mestilah dimasukkan ke dalam tong yang berwarna BIRU.


Beg-beg membeli belah plastik, beg plastik dari supermarkat, botol minuman plastik, botol air mineral dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik boleh diproses untuk dikitar semula.

Semua jenis plastik ini mestilah dimasukkan ke dalam tong yang berwarna JINGGA.

KENAPA KITAR SEMULA?
Kitar semula untuk memelihara ruang hidup kita. Pada masa ini terdapat kira-kira 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya berkeluasan antara 20 hingga 150 ekar, bergantung pada lokasi dan jumlah sampah ynag dibuang. Sebaik sahaja sebuah tapak pelupusan sampah dipenuhi sampah, tapak baru akan dibuka. Lambat laun, tapak-tapak ini akan berkembang dan menular mencerobohi ruang hidup kita.

- Kitar semula untuk persekitaran yang lebih sihat dan lebih bersih
Sampah boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Jika dibiarkan bersepah, ia akan menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit seperti tikus dan gagak. Melalui kitar semula, kita dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada merebak.

- Kitar semula untuk mengurangkan pencemaran
Longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah merupakan salah satu punca pencemaran dalam iklim tropika. Amalan mengitar semula dapat mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan udara.

- Kitar semula untuk menjimatkan kos
Dalam jangka panjang, mengitar semula adalah lebih menjimatkan berbanding dengan usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang lain. Apabila program kitar semula bertambah cekap, sampah yang perlu dilupus akan semakin berkurangan. Ini seterusnya akan memanfaatkan anda kerana caj untuk pelupusan sampah akan dikurangkan.

- Kitar semula untuk menjimatkan sumber kita
Ramai yang tidak sedar bahawa kita sebenarnya membuang sumber yang amat bernilai. Tahukah anda Malaysia mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan setiap bulan untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan? Kita juga mengimport bahan baungan lain untuk industri pengeluaran yang lain.

- Kitar semula untuk menjimatkan tenaga
Tenaga yang dapat dijimatkan untuk mengitar semula satu tin aluminium adalah bersamaan dengan tenaga yang digunakan untuk memasang TV selama 3 jam. Mengitar semula kaca menurunkan suhu lebur untuk kaca baru sambil menjimatkan sehingga 32% tenaga yang diperlukan untuk pengeluaran kaca.

- Kitar semula untuk menyelamatkan hutan
Untuk menghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 pohon pokok terpaksa ditebang. Mengitar semula kertas akan mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara hutan kerana ia merupakan paru-paru yang memberi kita oksigen dan udara bersih.

KITAR SEMULA

Fikir Dulu Sebelum Buang



No comments: