Thursday, June 12, 2008

Umur Persaraan 58 tahun

Taklimat untuk guru-guru sesi petang telah diadakan hari ini 12 Jun 2008 pada waktu rehat jam 3.40 petang. Nampaknya ramai juga guru wanita ingin kekal bersara umur 56 tahun. Fikir betul-betul cikgu..masih boleh tukar fikiran sebelum borang tandatangan tersebut dihantar ke PPD. Esok akan diadakan taklimat untuk guru-guru sesi pagi.


JPA/PEN/228/25/1/Jld.4 No. Siri:

KERAJAAN MALAYSIA

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 6 TAHUN 2008

TAWARAN OPSYEN PELANJUTAN UMUR PERSARAAN WAJIB

KEPADA 58 TAHUN

TUJUAN

1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan untuk melanjutkan umur persaraan wajib anggota tetap di dalam sektor awam (meliputi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri serta pekerja Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan) daripada 56 tahun kepada 58 tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2008.

LATAR BELAKANG

2. Umur persaraan wajib anggota tetap di dalam sektor awam yang tertakluk kepada Skim Pencen atau pun kepada Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diperuntukkan di bawah Akta Pencen 1980 [Akta 227] bagi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri dan di bawah Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun Dan Tempatan 1980 [Akta 239] bagi pekerja Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan. Kini, undang-undang berkenaan menetapkan bahawa seseorang anggota yang dilantik ke dalam perkhidmatan awam pada atau selepas 1 Oktober 2001 hendaklah bersara apabila ia mencapai umur 56 tahun. Di samping itu, anggota yang telah dilantik sebelum 1 Oktober 2001 hendaklah bersara apabila ia mencapai sama ada umur 55 tahun atau 56 tahun, mengikut opsyennya di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2001.

3. Akta 227 dan Akta 239 dipinda untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 56 tahun kepada 58 tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2008. Dengan pindaan tersebut, anggota tetap yang dilantik pada atau selepas tarikh kuat kuasa hendaklah bersara apabila mencapai umur 58 tahun sebagai syarat perkhidmatannya. Pindaan tersebut juga memperuntukkan supaya anggota yang sedang berkhidmat sehingga 30 Jun 2008 diberi opsyen untuk bersara wajib apabila mencapai umur 58 tahun atau kekal dengan umur persaraan wajib 55/56 tahun.

IMPLIKASI OPSYEN UNTUK BERSARA

APABILA MENCAPAI UMUR 58 TAHUN

Pemakaian undang-undang pencen dan peraturan-peraturan lain

4. Sepanjang tempoh perkhidmatan selepas mencapai umur 55/56 tahun, seseorang anggota yang membuat opsyen untuk berkhidmat sehingga mencapai umur 58 tahun adalah terus tertakluk kepada Undang-Undang Pencen serta Perintah Am, Peraturan Perkhidmatan, Skim Perkhidmatan, Pekeliling Perkhidmatan, Surat Pekeliling Perkhidmatan dan arahan-arahan lain yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.

Pengambilan kira tempoh perkhidmatan

5. Bagi anggota di bawah Skim Pencen, tempoh perkhidmatannya sehingga mencapai umur 58 tahun adalah dimasuk kira bagi perkiraan faedah-faedah persaraan, tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Akta 227 atau Akta 239, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Persaraan awal

6. Anggota yang telah membuat opsyen untuk bersara wajib apabila mencapai umur 58 tahun masih boleh dikehendaki bersara awal atas kehendak Kerajaan pada bila-bila masa di bawah peruntukan-peruntukan Akta 227 atau Akta 239. Anggota itu juga boleh memohon bersara secara pilihan sebelum mencapai umur 58 tahun di bawah undang-undang yang sama.

Permulaan pemberian pencen berkaitan persaraan pilihan

7. Bagi anggota yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991 dan kemudiannya diluluskan persaraan pilihan, ganjaran dan pemberian wang tunai gantian cuti rehat (GCR) diberi ketika bersara tetapi pencen akan mula diberi apabila mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya melalui pilihan atau lantikan, iaitu sama ada 55 tahun atau 56 tahun atau 58 tahun. Anggota yang dilantik sebelum 12 April 1991 yang bersara pilihan layak diberi pencen apabila mencapai umur 45 tahun (bagi perempuan) atau 50 tahun (bagi lelaki).

Pemberian faedah persaraan berkaitan dengan persaraan setelah dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan atas terma dan syarat perkhidmatan sama seperti dalam Skim Baru

8. Bagi pegawai tetap yang dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan atas terma dan syarat perkhidmatan sama seperti dalam Skim Baru dan bersara di bawah Seksyen 12A Akta 227, faedah persaraan (ganjaran, GCR dan pencen) akan dibayar seperti berikut –

(i) Sekiranya dilantik dalam perkhidmatan awam sebelum 16 Mei 1986, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 45 tahun (perempuan) atau 50 tahun (lelaki) atau pada umur 55/56/58 tahun, mengikut umur persaraan wajib yang dipilih;

(ii) Sekiranya dilantik pada atau selepas 16 Mei 1986, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 55/56/58 tahun mengikut umur persaraan wajib yang dipilih; dan


(iii) Sekiranya dilantik pada atau selepas 1 Oktober 2001, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 56/58 tahun mengikut umur persaraan wajib yang dipilih.

9. Bagi pekerja tetap yang dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan atas terma dan syarat perkhidmatan sama seperti dalam Skim Baru selepas berkuat kuasanya pindaan ini dan bersara di bawah Seksyen 13 Akta 239 –

(i) Sekiranya dilantik dalam perkhidmatan Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun atau Tempatan sebelum 1 Oktober 2001, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 55/56/58 tahun, mengikut umur persaraan wajib yang dipilih; dan

(ii) Sekiranya dilantik pada atau selepas 1 Oktober 2001, faedah persaraannya akan dibayar pada umur 56/58 tahun, mengikut umur persaraan wajib yang dipilih.

Penggantungan pencen yang diberi kepada anggota yang dibersarakan atas alasan kepentingan negara

10. Bagi anggota yang dibersarakan atas alasan kepentingan negara di bawah Seksyen 11 (a) (i) atau 11 (b) (i) Akta 227 atau 11 (a) Akta 239 dan dalam tempoh 5 tahun persaraannya melibatkan dirinya dalam apa-apa aktiviti yang mungkin bercanggah dengan tujuan ia disarakan, pencennya boleh digantung seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Akta 227 atau Seksyen 26 Akta 239 sehingga


beliau mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya melalui pilihan iaitu sama ada 55/56/58 tahun.

PELAKSANAAN

Anggota Yang Layak Ditawarkan Opsyen

11. Opsyen diberi kepada anggota tetap yang sedang berkhidmat yang akan mencapai umur persaraan wajib yang terpakai baginya melalui pilihan atau lantikan, iaitu sama ada 55 tahun atau 56 tahun pada atau selepas 1 Julai 2008. Sebagai penjelasan, hanya anggota yang berada dalam perkhidmatan pada 30 Jun 2008 boleh ditawarkan opsyen ini.

12. “Anggota tetap” yang dimaksudkan adalah termasuk anggota yang sedang–

(i) dalam tempoh percubaan;

(ii) dipinjamkan;

(iii) dalam pertukaran sementara;

(iv) bercuti tanpa gaji;

(v) bercuti belajar atau berkursus;

(vi) dalam tindakan tatatertib yang belum berkeputusan muktamad anggota itu dibuang kerja;

(vii) tertakluk sama ada kepada Skim Pencen atau Skim KWSP; dan

(viii) berkhidmat di agensi Kerajaan berasaskan Sistem Saraan yang diasingkan dan pemberian faedah persaraannya adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 6B, 6C dan 6D, atau 6E, 6F dan 6G Akta 239.


13. Tarikh lahir yang diiktiraf bagi urusan penetapan umur persaraan wajib ialah tarikh lahir yang dicatat dalam Buku Rekod Perkhidmatan anggota. Sebarang pindaan tarikh lahir dalam Buku Rekod Perkhidmatan hendaklah dilakukan berasaskan syarat-syarat di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2002.

Borang Opsyen

14. Ketua Jabatan hendaklah mengedarkan borang opsyen seperti di Lampiran A kepada setiap anggota yang layak diberi opsyen.

Tempoh Opsyen

15. Opsyen hendaklah dibuat dan borang opsyen diserahkan kepada Ketua Jabatan sebelum 1 Julai 2008. Anggota yang tidak membuat opsyen atau tidak menyerahkan borang opsyen sebelum tarikh tersebut atau yang membuat opsyen dengan bantahan atau syarat tambahan disifatkan sebagai menolak opsyen ini dan memilih untuk kekal bersara pada umur persaraan yang terpakai baginya sebelum pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan ini, iaitu sama ada 55 tahun atau 56 tahun, mengikut mana-mana yang berkenaan. Opsyen oleh anggota menjadi operatif pada 1 Julai 2008 dan adalah muktamad.

Merekod Opsyen Anggota Dalam Buku Rekod Perkhidmatan

16. Ketua Jabatan bertanggungjawab mencatatkan ke dalam Buku Rekod Perkhidmatan anggota maklumat seperti berikut :


Opsyen Di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2008

Telah memilih untuk kekal bersara wajib apabila mencapai umur 55/56 tahun *, dan tertakluk kepada Akta Pencen 1980 (Akta 227) dibaca bersama-sama Akta Pencen (Pindaan) 2008 / Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239) dibaca bersama Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2008*, tertakluk kepada semua peruntukan Akta Pindaan tersebut”

(ATAU)

Telah memilih untuk bersara wajib apabila mencapai umur 58 tahun, dan tertakluk kepada Akta Pencen 1980 (Akta 227) dibaca bersama-sama Akta Pencen (Pindaan) 2008 / Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239) dibaca bersama Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan (Pindaan) 2008*, tertakluk kepada semua peruntukan Akta Pindaan tersebut”

Tandatangan pihak yang mengesahkan, jawatannya

dan tarikh pengesahan

*Potong mana yang tidak berkenaan. Akta 227 ialah bagi pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan atau Negeri dan Akta 239 ialah bagi pekerja Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.


Maklum Balas Ketua Jabatan Kepada

Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pasca Perkhidmatan)

17. Ketua Jabatan hendaklah menghantar kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pasca Perkhidmatan) borang maklum balas seperti di Lampiran B sebelum 1 Ogos 2008.

18. Jabatan Perkhidmatan Awam (Bahagian Pasca Perkhidmatan) telah menangguhkan pemprosesan kes-kes persaraan wajib pada umur 55/56 tahun yang telah diterima daripada Ketua Jabatan sebelum keluarnya Pekeliling Perkhidmatan ini bagi semua anggota yang layak diberi opsyen. Bagi semua kes tersebut, Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan kepada Jabatan ini dengan secepat mungkin selepas menerima opsyen daripada anggota –

(i) sesalinan borang opsyen seperti di Lampiran A yang telah disempurnakan oleh anggota; dan

(ii) sesalinan muka surat terakhir Buku Rekod Perkhidmatan anggota yang tercatat opsyen seperti di perenggan 16 Pekeliling Perkhidmatan ini serta tarikh persaraan wajibnya mengikut opsyen tersebut.



No comments: