Sunday, December 14, 2008

Bertukar ke SK Dengkil


Adalah dimaklumkan saya akan bertukar ke SK Dengkil mulai 17 Disember 2008 (ikut surat mula 1 Disember) atas kehendak dan permintaan pihak atasan. Saya akan digantikan oleh Guru Besar dari SK Cyberjaya.

Sebenarnya ura-ura ni dah lama kedengaran dalam daerah Sepang cuma belum tentu sah atau tidak. Walau berat hati nak meninggalkan warga SK Desa Putra yang saya sayang, apakan daya kerana kita merancang, Tuhan yang menentukan.

Sebenarnya banyak lagi tugasan dan perjuangan saya yang belum selesai namun saya mengharapkan Penolong Kanan, guru-guru, PIBG juga Guru Besar baru akan meneruskannya.

Saya memohon ampun dan maaf atas segala salah silap dan kelemahan jika ada dan saya mendoakan semoga SK Desa Putra terus cemerlang dalam semua bidang. Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua atas segala kerjasama, sokongan dan sumbangan kepada saya dan sekolah selama ini. Hubungi saya bila-bila masa jika perlu. Selamat maju jaya.

Jumpa lagi. Assalamualaikum wbt.

Saturday, November 15, 2008

Keputusan UPSR 2008




Setelah berdebar-debar menanti, 13 November menceritakan segala-galanya..result UPSR 2008. Alhamdulillah 12 orang murid berjaya mendapat keputusan 5A. Syabas dan tahniah kepada anak-anak yang berjaya. Selamat Maju Jaya. Terima kasih kepada guru-guru yang telah berusaha tanpa mengenal jemu. Bagi anak-anak Cikgu yang lain, usaha, usaha dan usaha lagi. Banyak lagi kejayaan menanti anda.

Gambar pertama adalah Hero dan Heroin SK Desa Putra yang berjaya mendapat 5A manakala gambar kedua adalah murid-murid yang berjaya mendapat keputusan 4A.

(Tunggu sambungan.. Cikgu nak berkemas. Esok nak ke Medan, Indonesia bersama Cikgu Rosli, Ust Che Adenan, Cikgu Zilah, Cikgu Azrienna, Cikgu Asiah & suami dan En. Jemali serta isteri)

Tuesday, September 9, 2008

Tibanya UPSR

Tiba lah hari-hari yang paling mendebarkan bagi semua Guru Besar dan guru-guru serta ibu bapa. UPSR 2008!. Anak-anak tahun 6? Ada yang sangat risau, ada yang risau dan ada yang tidak risau langsung. Ingat pesanan guru dan ibu bapa. Tawakkal kepada Allah. Buat yang terbaik, mohon pertolongan Nya terutama di bulan mulia bulan Ramadhan al Mubarak. InsyaAllah anda akan dapat apa yang anda usahakan. Doa guru-guru dan ibu ayah sentiasa untuk mu.

Selamat Menjalani Peperiksaan UPSR dengan penuh keyakinan. Semoga anda berjaya cemerlang.

Wednesday, September 3, 2008

Keputusan Percubaan UPSR

Tahniah kepada anak-anak muridku yang dapat result yang cemerlang dalam percubaan baru-baru ni. Semoga anda kekal cemerlang malah lebih baik lagi. Begitu juga kepada semua anak muridku yang lain. Anda juga boleh berjaya. PASTI 5A!!

Keputusan 5A

1. Amer Danish Ameruddin
2. Nur Hazwani Ahmad Suhaimi
3. Hadfina Muhd Haron Husaini
4. Nur Aqilah Saharuddin
5. Nur HamizahMohd Fauzi
6. Amir Ashraff Shahruddin

Keputusan 4A 1B

1. Nur Syuhada Ahamad Redzuan
2. Nurin Huda Abdul Mutti
3. Ain Athirah Mohd Kamal

Tahniah dan Semoga Anak-Anak Tahun 6 berjaya cemerlang..

"Selamat Menjalani UPSR pada 9 hingga 11 September 2008"

Saturday, August 30, 2008

ADAB BERPUASA DAN SOLAT TERAWIH

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain.

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak.

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat.

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia.

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga.

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat.

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin.

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air.

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.


"SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK"
"SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 51"

Thursday, August 21, 2008

10 Petua Menghadapi Peperiksaan

Khas buat anak muridku..

· Kajian terhadap topik dan pemetaan maklumat

Semak sama ada anda memahami sepenuhnya, separuh atau tidak memahami langsung bab berkenaan. Jika ada bab yang belum difahami sepenuhnya, segera buat peta minda dengan mencatat maklumat penting yang berkaitan.

· Semak soalan tahun lalu (setiap subjek)

Biarpun soalan akan berubah setiap tahun, anda tetap perlu menyemaknya untuk membandingkan kekerapan topik berkenaan keluar dalam setiap peperiksaan.

· Banyakkan pembelajaran secara output learning

Di saat-saat akhir, anda seharusnya banyak mengulang kaji pelajaran secara output learning iaitu mengeluarkan kembali kefahaman anda kepada bentuk lakaran ataupun menerangkan kepada rakan. Ia dapat membantu menguatkan ingatan terhadap sesuatu mata pelajaran.

· Memperbanyakkan latih tubi dan ujian simulasi
Satu cara untuk menguji sejauh mana pemahaman anda terhadap sesuatu subjek adalah melalui latihan berterusan (latih tubi) dan soalan tahun sebelumnya. Ia mampu menolong anda mengatasi bahagian subjek yang lemah.

· Nota ringkas

Nota ringkas amat penting dan berguna kerana ia senang dibawa ke mana saja. Anda boleh membaca catatan nota ringkas berkenaan di waktu terluang.

· Pastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya

Biar sesibuk mana sekalipun, anda perlu mendapat tidur dan rehat cukup. Jangan lupa bersenam sekurang-kurangnya 10 minit bagi memastikan badan kekal cergas. Pengaliran oksigen yang baik boleh menghasilkan otak yang cerdas.

· Pemakanan berkhasiat dan seimbang

Elak mengambil terlalu banyak makanan yang mengandungi kafein (seperti kopi) kerana anda mungkin akan sukar tidur dan hilang tumpuan.

· Kawal emosi

Elak terbabit dalam sebarang konflik yang boleh menggugat ketenangan emosi di saat anda akan menduduki peperiksaan. Jangan menimbulkan sebarang pertelingkahan atau terasa hati dengan rakan-rakan atau keluarga kerana ia boleh menggugat ketenangan ketika menjawab soalan kelak.

· Banyakkan berdoa dan bersolat

Sebagai makhluk yang lemah, kita memang tidak dapat lari daripada berdoa kepada Allah s.w.t. Sebagai seorang Islam, anda perlu memper banyakkan solat hajat, tahajud dan berdoa memohon bantuan-Nya. Sebelum melangkah ke dewan peperiksaan, pohon keampunan dan keredaan daripada ibu bapa dan guru.

· Jangan panik

Sebaik melangkah masuk ke dewan peperiksaan, jangan panik kerana ia mampu membuatkan kita lupa 50% apa yang sudah dipelajari selama ini. Tanamkan keyakinan dalam diri, anda boleh menjawabnya.


****************************************

SELAMAT MENGHADAPI UPSR

PADA 9 – 11 SEPT 2008

KAMI DOAKAN ANDA SEMUA BEROLEH KEJAYAAN CEMERLANG.

MOHON LAH PERTOLONGAN ALLAH SWT DALAM APA JUA SITUASI YANG DIHADAPI

5A DI TANGAN ANDA!!

Doa dari semua ibu bapa dan guru anda..

Terima kasih cikgu

Hari ini berakhirnya Kelas Intensif 4 hari untuk murid-murid tahun 6. Kehadiran memuaskan, cuma Tahun 6G ramai juga yang tidak hadir. Tahniah kepada murid-murid yang hadir. Cikgu doakan kamu semua lulus cemerlang nanti. Saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua guru yang telah sudi mengorbankan masa cuti demi anak-anak SKDP. Hanya Allah jua yang dapat membalasnya. Semoga semuanya lulus PTK 44 (bukan selisih malaikat 44). Lepas ni harap semua dapat anjakan gaji dan time base atau kalau ada rezeki dapat Guru Cemerlang atau naik gred hakiki sebagai pentadbir.